IPOH, PERAK, 2 NOVEMBER 2026 – Satu Lawatan Pemantauan Projek Pembinaan Mahkamah Sesyen dan Majistret Baharu Ipoh, Perak telah diadakan pada 2 November 2026 (Isnin) bertempat di tapak projek pembinaan.
Sesi pemantauan ini dihadiri oleh YBhg. Dato' Ar. IDr. Azman bin Md. Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar). Lawatan ini bertujuan menilai status kemajuan fizikal dan kewangan serta memastikan pelaksanaan projek mematuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Projek pembinaan ini dilaksanakan secara konvensional perunding di bawah kementerian pelanggan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), dengan Mahkamah Sesyen dan Majistret sebagai pihak pengguna, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana. Pegawai Penguasa projek ialah Pengarah Kerja Raya Negeri Perak.
Projek yang bernilai RM 125,252,525.25 (No. Kontrak: JKR/PER/IP/CKUB/084/2023) ini dilaksanakan oleh kontraktor utama Serasi Ventures Sdn. Bhd. Setakat 30 Oktober 2026, kemajuan fizikal sebenar projek telah mencatatkan pencapaian 58.30% berbanding jadual 58.29% (+0.01%). Skop utama projek merangkumi pembinaan Blok Kompleks Mahkamah (6 tingkat) dan Blok Tempat Letak Kereta bertingkat (7 Tingkat). YBhg. Dato' melahirkan keyakinan dan komitmen pihak kontraktor utama untuk menyiapkan projek pembinaan ini sepenuhnya mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
Atur cara lawatan merangkumi pembentangan status pelaksanaan projek oleh pihak JKR serta Perunding dan diakhiri dengan sesi bergambar.
JKR Malaysia kekal komited dalam memastikan kualiti dan keselamatan pembinaan diberi keutamaan tinggi demi memberikan kemudahan prasarana kehakiman yang moden dan kondusif kepada rakyat.