Skip to main content

Majlis Penyerahan Bersama Projek Siap bagi Projek Peningkatan Jeti Operasi Lumut

Berita Terkini

LUMUT, PERAK, 10 SEPTEMBER 2026 – Majlis Penyerahan Bersama Projek Siap bagi Projek Peningkatan Jeti Operasi Lumut dan Projek Peningkatan Sistem Perpaipan Bekalan Air Tawar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut telah berlangsung pada 10 September 2026.
Majlis penyerahan projek ini merupakan satu pencapaian penting hasil kerjasama antara Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai pelanggan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pengguna dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai agensi pelaksana.

Majlis telah disempurnakan melalui upacara menandatangani dokumen Perakuan Serah Kerja Siap Projek oleh pihak berkaitan, diikuti pertukaran dokumen serta penyerahan replika sebagai simbolik penyerahan kedua-dua projek kepada pihak pelanggan.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Laksamana Muda Dato’ Ahmad Shafirudin bin Abu Bakar, Asisten Ketua Staf Perancangan, Pembangunan dan Strategi Markas Tentera Laut; YBhg. Laksamana Muda Dato’ Ts. Shaiful Bahri bin Baharuddin, Panglima Logistik Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); YBhg. Kepten Hj. Shaiful Fadzli bin Ismail, Ketua Staf Markas Pemerintahan Lumut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mewakili Komander Pangkalan Lumut; YBrs. Ir. Haji Zamri bin Mat Kasim, Pengarah JKR Perak dan selaku Pegawai Penguasa; YBhg. Ir. Ahmad Shahruzi bin Ahmad, Pengarah Reka Bentuk Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Ibu Pejabat JKR Malaysia serta YBrs. Ir. Farrid bin Jamaludin, Timbalan Pengarah JKR Perak selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama.

Kedua-dua projek merupakan projek Reka dan Bina dengan Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai pelanggan, TLDM sebagai pengguna dan JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.
Projek Peningkatan Jeti Operasi Lumut telah dilaksanakan oleh MMN Bina Sdn. Bhd. dengan harga kontrak semasa sebanyak RM90.34 juta. Projek ini mempunyai tarikh milik tapak pada 28 Disember 2020 dan telah siap pada 4 Jun 2026, dengan tempoh kontrak asal selama 238 minggu. 

Projek ini melibatkan pembinaan sebuah jeti baharu berukuran 200 meter panjang dan 20 meter lebar, lengkap dengan komponen perabot jeti seperti dolphin, bollard, fender dan pejalan kaki berbumbung.
Selain struktur marin, projek ini turut mengintegrasikan sistem mekanikal dan elektrikal termasuk sistem pengurusan bahan api diesel, AVCAT dan defuelling, sistem elektrikal Voltan Sederhana 11kV, Frequency Converter serta lampu navigasi. Gabungan pelbagai disiplin ini menjadikan jeti tersebut sebuah infrastruktur marin yang moden, lengkap dan bersedia menyokong pengoperasian Pangkalan TLDM Lumut.


Turut diserahkan ialah Projek Peningkatan Sistem Perpaipan Bekalan Air Tawar di Pangkalan TLDM Lumut, yang telah dilaksanakan oleh Ranhill Technologies Sdn. Bhd. dengan ha
rga kontrak semasa sebanyak RM43.79 juta. Projek ini mempunyai tarikh milik tapak pada 6 Januari 2023 dan telah siap pada 29 Julai 2026, dengan tempoh kontrak asal selama 164 minggu. 

Skop utama melibatkan penggantian sistem paip bekalan air domestik dan hidran bomba sejauh hampir 43 kilometer, selain penggantian sistem mekanikal dan pemasangan sistem elektrikal baharu. Projek ini turut diperkukuh dengan Rumah Pam Baharu yang berfungsi sebagai pusat pengagihan air yang lebih efisien serta dikawal selia melalui Sistem Aquasmart. Pelaksanaan projek ini menyokong jaminan bekalan air serta aspek keselamatan kebakaran bagi kelangsungan operasi Pangkalan TLDM Lumut.

Kedua-dua projek ini merupakan bukti komitmen JKR bersama rakan perunding dan kontraktor dalam memastikan aspek kualiti dan keselamatan diberi keutamaan. Setiap aspek teknikal telah melalui proses pengujian, penyelarasan dan penelitian sebelum projek diserahkan kepada pihak pelanggan.
Kejayaan pelaksanaan projek ini adalah hasil sinergi dan kerjasama erat antara PPPN JKR Perak, JKR TLDM Lumut, HOPT, HODT, pihak perunding serta kontraktor.
JKR Malaysia terus komited melaksanakan amanah pembangunan infrastruktur negara secara profesional dengan penekanan terhadap kualiti, keselamatan dan kepuasan pelanggan demi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan dan menyokong kelancaran operasi serta kesiapsiagaan Pangkalan TLDM Lumut.

#IamJKR
#KitaJKR
#JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat