Skip to main content

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP : “PEMBINAAN BANGUNAN BAHARU KOMPLEKS PENDIDIKAN NEGERI PERAK, IPOH PERAK”

Berita Terkini

IPOH PERAK, 5 Mei 2026 – Majlis Penyerahan projek siap telah berlangsung dengan gilang-gemilangnya sebagai tanda penyiapan rasmi projek “Pembinaan Baharu Kompleks Pendidikan Negeri Perak, Ipoh Perak”.

Majlis penyerahan projek siap ini telah disempurnakan melalui sesi menandatangani dokumen perakuan penyerahan projek kepada pihak pelanggan oleh YBrs. Ir. Haji Zamri Bin Mat Kasim, Pengarah JKR Perak selaku Pegawai Penguasa dan YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) 
Kementerian Pendidikan, mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

Majlis turut disaksikan YB. Pn. Fadhlina Binti Sidek, Menteri Pendidikan, YB. Tn. Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan, YBhg. Dato’ Indera Ikmalrudin bin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan YBrs. En. Zulkafli Bin Mohamed Mokhtar, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Majlis diteruskan dengan penyerahan replika kunci daripada Syarikat Sunissa Sdn. Bhd. kepada Pengarah JKR Perak dan seterusnya kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Pendidikan sebagai simbolik penyerahan projek ini kepada pihak pelanggan.

Pembinaan Bangunan Baharu Kompleks Pendidikan Negeri Perak merupakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan pejabat dan infrastruktur yang lengkap dan kondusif sejajar dengan keperluan tempat kerja yang selesa dan selamat kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Negeri. Projek pembinaan ini telah dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Persekutuan Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak pada tahun 2022 dengan kos kontrak asal bernilai RM55.328 juta. Pelaksanaan telah dibuat secara konvensional Perunding.

Pembinaan Bangunan Baharu Kompleks Pendidikan Negeri Perak terletak di Meru, Ipoh dengan keluasan tapak 6.2 ekar menyediakan infrastruktur berikut: 

a.    3 blok bangunan bagi menampung 401 orang yang mana mengandungi:

i.    Blok pentadbiran A1 mengandungi 7 tingkat
ii.    Blok pentadbiran A2 mengandungi 4 tingkat
iii.    Blok pentadbiran A3 mengandungi 6 tingkat

b.    Dewan serbaguna berkapasiti 500 pax lengkap dengan pelbagai fasiliti yang boleh digunakan sebagai aktiviti perhimpunan atau lain-lain kegunaan yang juga turut mengandungi 3 unit gelanggang badminton.  

c.    Fasiliti bangunan lain mengandungi Sub Station TNB, Rumah Pam, Pondok Pengawal dan garaj bas, Rainwater Harvesting Tank, 3 unit lif, Pemasangan Servis Elektrikal dan ICT serta pemasangan Sistem Hawa Dingin.

e.    Bagi skop kerja luar bangunan pula kemudahan yang disediakan adalah ruang parkir kenderaan sebanyak 400 bilangan termasuk 24 unit tempat letak kenderaan berbumbung, Sistem Saliran, Sistem Retikulasi Air dan Sistem Pembentungan.

Sepanjang tempoh pembinaan, projek ini telah melalui beberapa siri penilaian dan mencatatkan pencapaian yang amat membanggakan. Dalam Sistem Pengurusan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, projek ini telah mencapai skor 98.4% iaitu pencapaian Cemerlang dalam Audit Dalaman MS ISO 45001:2018 pada Julai 2025. Malah, pada 4 Julai 2024, projek ini telah dianugerahkan penarafan 5 BINTANG oleh CIDB melalui Penilaian Safety And Health Assessment In Construction atau ringkasnya SHASSIC.

Bagi Penilaian Pemakaian Amalan Terbaik Pengurusan Projek melalui pelaksanaan Project Health Check (PHC) pada 31 Januari 2024, projek ini telah meraih skor 96% iaitu kategori Cemerlang. Ini diperkukuhkan lagi dengan skor 94% iaitu Cemerlang daripada Program Penilaian Pasukan Projek Persekutuan Negeri (PPPN) Perak pada Julai 2023.

Selain kecemerlangan teknikal, projek ini juga telah menjadi platform tapak projek dalam melaksanakan Majlis Peluncuran Program Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi Tapak Bina JKR Malaysia Tahun 2025 bersama Ketua Pengarah JKR Malaysia pada Julai 2025.

Projek yang bermula dengan pemilikan tapak pada 10 Mei 2022 dan telah siap sepenuhnya, diikuti dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 7 Mac 2026. Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding dan Cawangan Kerja Pendidikan, JKR Malaysia selaku Pengurus Program. Tamat tempoh tanggungan kecacatan projek ini ialah pada 7 Mac 2027.

JKR Malaysia komited untuk melaksanakan projek dengan pengurusan profesional dan standard kualiti tertinggi demi memastikan keberkesanan serta kepuasan pelanggan.

#IamJKR
#KitaJKR 
#JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat